Kejadian ini berlaku ketika aku masih lagi kecil. Ketika atu aku tinggal bersama datuk ku diutara tanah air bersempadan dengan negara jiran. Datuk ku mempunyai seorang anak dara yang ku panggil mak ngah berumur dalam lingkungan 20an. Mak Ngah memang seorang yang cantik dan mendapat perhatian dari ramai pemuda. Ramai yang cuba meminang tetapi ditolak oleh datukku dengan alasan anaknya perlu menghabiskan pengajiannya dulu.

Dalam ramai-ramai pemuda yang cuba memikat, cuba seorang sahaja yang berjaya menarik perhatian datukku dan juga mak ngah. Orangnya sederhana dan bekerja sebagai guru dibandar berdekatan. Aku masih ingat setiap kali pakcik (panggilanku kepadanya) datang, dia mesti membawa buah tangan untuk datuk sekeluarga dan akan membawaku ke kedai berdekatan dengan motosikalnya. Aku merasa selesa dengannya. Walaupun begitu, pakcik tidak pernah menyatakan hasratnya untuk meminang mak ngah sehingga disuatu hari...

Ketika itu hujan panas renyai-renyai. Laungan azan asar baru sahaja berkumandang dari surau berdekatan. Tiba-tiba muncul dua buah kereta dihalaman rumah. Ada beberapa orang tua didalamnya. Mereka bertanya kepadaku akan datuk. Ketika itu datuk sedang sedang bersolat. Mereka cuma tersenyum dan duduk ditangga. Ketika itu hujan panas masih turun. Salah seorang dari mereka berjalan mengelilingi rumah. Katanya hendak melihat-lihat kawasan tanah. Datuk muncul setelah menunaikan solat dan memarahi ku kerana tidak menjemput mereka naik memandangkan hari diluar hujan. Aku tidak pasti mengapa aku jadi begitu. Aku rasa ada sesuatu yang tidak kena ketika mereka muncul dihalaman rumah. Ketika mereka naik kerumah, mereka menanggal dan meninggalkan kasut diatas anak tangga, sesuatu yang jarang dilakukan pada pendapatku. Ketika bersalaman bulu romaku tiba-tiba meremang. Aku cuma mendiamkan diri. Mereka memperkenalkan diri. Mereka dari kampung sebelah. Dari cara dan isi perbualan mereka aku dapat mengagak yang mereka ingin meminang mak ngah. Bagaimana pun hasrat mereka ditolak secara baik oleh datuk dengan alasan yang serupa seperti sebelumnya. Akan tetapi mereka masih terus mencuba dan mengatakan bahwa anak lelaki mereka berkelulusan luar negeri dan sekarang sedang berkerja sebagai seorang yang berpangkat besar di Kuala Lumpur dan sanggup menunggu sehingga mak ngah tamat pengajiannya. Datuk cuma tersenyum dan tetap menolak pinangan mereka. Dapat kulihat perubahan diwajah mereka ketika itu.

Hujan semakin lebat dan suasana keliling semakin kelam. Mereka tergesa-gesa ingin pulang walaupun datuk cuba menahan memandangkan cuaca diluar semakin buruk. Akan tetapi mereka tetap ingin pulang dengan alasan masih ada urusan lain yang mereka perlu lakukan. Orang tua yang mengelilingi rumah tadi memberiku duit syiling 20 sen. Katanya untuk ku membeli gula-gula. Ketika waktu maghrib hujan telah mulai reda. Aku berlari kekedai yang berdekatan untuk membeli gula-gula dengan duit tadi. Aku dimarahi datuk ketika sampai kerumah kerana keluar diwaktu maghrib. Gula-gula yang kebeli tadi ku rasa tidak seperti selalu. Rasanya pahit. Selepas waktu Isyak ketika datuk mengajakku makan malam, aku merasa tubuhku begitu lemah, Badanku panas. Sekali lagi datuk memerahiku. Katanya aku jadi begitu sebab keluar rumah waktu hujan dan waktu senja. Ketika itu suara datuk seolah-olah bergema-gema. Ada masanya suaranya begitu menakutkan aku sehingga membuat aku menangis dan menjerit. Datuk memegang tanganku. Ku lihatnya tangannya penuh dengan sisik-sisik berwarna hijau dan mengerutu. Ku rasa cengkamannya begitu kuat membuatkan aku sekali lagi menjerit. Datuk kata badanku panas. Datuk memangku ku kebilik dan menyuruh aku berbaring dan berselimut. Katanya dia akan membawa aku ke klinik esok memandangkan hari sudah malam.

Ketika datuk dan mak ngah makan diluar aku keseorangan dibilik berbaring memandang keatap. Ketika itu aku terdengar suara beberapa orang berbisik-bisik. Aku tidak pasti dari mana datangnya suara itu. Ianya seolah-olah berada disekelilingku. Tiba-tiba aku tersentak apabila terdengar bunyi seperti ada benda jatuh diatas atap rumah dan waktu yang sama suara berbisik tadi menjadi hilaian yang nyaring. Aku menjerit memanggil datuk. Datuk dan mak ngah bergegas kebilik. Aku menceritakan kepada mereka akan tetapi mereka cuma mengatakan yang aku terkena demam sebab itu aku mendengar bunyi yang macam-macam.

Pada sebelah malamnya sekali lagi kami dikejutkan apabila terdengar mak ngah menjerit dari biliknya. Datuk berlari kesana. Kata mak ngah dia ternampak mayat yang berbungkus dengan kain kapan dihujung katilnya. Katanya lagi mayat itu bergerak-gerak seolah-olah cuba bangun dari lantai. Datuk merasa tidak sedap hati. Katanya ada orang yang dengki dengan keluarganya. Malam itu kami bertiga tidur dibilik datuk. Entah beberapa lama kemudian sekali lagi kami dikejutkan dengan bunyi bising dari dapur seolah-olah ada seseorang yang menyelonkar pinggang-mangkuk dan periuk-belanga. Datuk mencapai golok yang terselit didinding dan menuju kedapur. Tidak lama kemudian dia muncul kembali dan mengatakan memang sah ada seseorang yang mengenakan ilmu hitam keatas keluarganya. Katanya lagi habis semua sisa lauk-pauknya selepas makan malam tadi dimakan oleh sesuatu atau seseorang dan meninggal bau yang teramat busuk. Katanya tiada cara lain untuk menghilangkan bau tersebut melainkan dengan menanam segala pinggang dan periuk yang disentuh. Malam itu kami tidak dapat tidur dengan tenangnya. Kadangkala terdengar seperti ada benda berjalan-jalan diatas atap dan ada kalanya terdengar seperti ada benda yang mengetuk-ngetuk daun tingkap.

Keesokanya selepas datuk menanam semua pinggan dan periuk yang berbau, aku dan mak ngah dibawa ke klinik. Menurut doktor aku cuma terkena demam biasa. Manakala mak ngah pula tiada apa-apa. Doktor cuma menasihati kami supaya banyak berehat. Pada sebelah petangnya pak cik datang kerumah dan datuk menceritakan segalanya kepada pak cik. Pak cik menasihatkan kami agar mencuba berubat secara tradisional. Katanya dia kenal dengan seorang tuan guru dibandar tempat dia mengajar. Akan tetapi tuan guru itu cuma merawat pesakitnya selepas waktu isyak kira-kira jam 9:00 malam. Selepas solat asar datuk mengadu yang dadanya sakit. Dia terbatuk-batuk beberapa kali dan dengan tidak semena-mena darah mengalir dari mulut dan hidungnya. Pak cik dan mak ngah mengucap panjang. Datuk begitu lemah sekali. Walaupun badan ku masih panas tetapi kini aku merasa lebih bertenaga berbanding semalam. Ketika menjelang maghrib suasana menjadi semakin genting. Batuk datuk semakin menjadi-jadi. Darah masih mengalir dari hidung dan mulutnya. Badanku pula merasa seram-sejuk. Ada masanya aku lihat semua orang disekelilingi bertukar wajah. Wajah datuk paling mengerikan terutama ketika aku melihat darah mengalir keluar dari hidung dan mulutnya. Suara mak ngah kudengar begitu nyaring sekali. Matanya merah tersembul keluar. Aku cuma memejam rapat dan menjerit sekuat hati. Pak cik memelukku sambil membaca beberapa baris ayat kursi. Ketika itu aku tenang kembali. Manakala mak ngah pula tidak henti-henti mengatakan seluruh rumah berbau kapur barus. Katanya ada mayat dibiliknya sambil menangis. Pak cik terus membaca ayat-ayat suci. Ketika keadaan menjadi semakin tegang dengan bunyi bising didapur dan diatas atap, pak cik terus melaungkan azan. Tiba-tiba suasana menjadi sepi kembali. Pak cik segera menyuruh kami bersiap untuk kerumah tuan guru. Mak ngah membawa datuk yang tidak bermaya dengan motosikal datuk manakala aku dibawa oleh pak cik dengan motosikalnya.

Sepanjang perjalanan kami tidak berbual sepatah pun. Sesekali pak cik menoleh kebelakang untuk memastikan mak ngah tidak ketinggalan. Kami tersesat beberapa kali sebelum menemui rumah tuan guru. Ketika itu rumahnya gelap cuma diterangi dengan cahaya lilin dan pelita. Katanya bekalan elektrik kekawasan rumahnya terputus tidak lama selepas waktu isyak. Dia menjemput kami masuk. Pak cik menjadi wakil kami menceritakan segala kejadian yang berlaku. Tuan guru cuma mengangguk-nganggukkan kepalanya. Kemudian dia bertanya siapa diantara kami yang mula-mula terkena. Aku mengangguk. Dia meminta nama penuh aku dan tarikh lahir selepas tu dia membaca ayat-ayat suci. Matanya berkedip-kedip pantas dan kemudian dia memberitahu yang aku ada mengambil sesuatu yang tidak elok dari seseorang. Katanya orang itu menganggap aku sebagai penghalang untuk dia mencapai hasratnya. Tuan guru mengambil sebotol air lalu dibacakan ayat-ayat suci dan menyuruh aku minum sedikit dan yang selebihnya dibuat mandi ketika itu juga. Aku menurut arahannya. Ketika aku kebilik air, tiba-tiba muncul dua ekor lipan bara. Aku melenting keluar sambil menjerit. Semua mereka menuju kearahku. Tuan guru segera menangkap kedua-dua ekor lipan bara tersebut dengan tangan tanpa berlapikkan apa-apa dan membakar lipan-lipan tersebut dengan api lilin. Katanya ilmu hitam yang digunakan oleh orang-orang yang dengki kepada kami terlalu kuat. Mereka akan cuba apa sahaja cara agar hidup kami berterusan dalam sengsara. Selepas mandi, badanku menjadi segar dan panasnya semakin berkurangan. Tuan guru kemudiannya mengubati datuk. Katanya datuk terkena santau angin. Racun santau tersebut mungkin belum sempat merebak keseluruh badan datuk. Jika tidak seluruh badan datuk akan menjadi lumpuh. Dia mengambil sebiji telur ayam kampung lalu digolekkannya dari perut datuk sehingga ketengkok sambil membaca ayat-ayat suci. Kemudian dia memecahkan telur tersebut diatas piring. Isinya penuh dengan darah bercampur dengan jarum-jarum halus, bintik-bintik hitam dan kuning, dan kuku. Katanya lagi itu perbuatan orang yang sama. Mereka marah kepada datuk kerana telah memalukan mereka lalu menghantar santau angin.

Tuan guru kemudiannya membaca ayat-ayat suci dan kemudian menghembus kebotol yang berisi air yang dipegangnya lalu menyuruh datuk berselawat sebelum meminumnya. Datuk segera menurut. Tidak berapa lama kemudian datuk berkejar kebilik air dan termuntah. Tuan guru menyuruh kami bertenang, katanya masih ada lagi saki-baki santau angin didalam badan datuk dan kini kesemuanya terkeluar bersama muntah datuk tadi.

Apabila sampai giliran mak ngah, tuan guru cuma merapatkan tapak tangannya ke dahi mak ngah tanpa menyentuhnya. Kemudian dia membuat sesuatu lakaran diatas tikar dengan jarinya sambil mulutnya terkumat-kamit membaca sesuatu. Kemudian dia berkata yang mak ngah tidak apa-apa cuma lemah semangat sahaja. Katanya lagi orang-orang yang dengki dengan keluarga kami ada menanam sesuatu dikawasan rumah kami. Tujuannya adalah untuk menganggu ketenteraman kami. Katanya lagi dia boleh meminta pertolongan dari sahabatnya dengan izin Allah untuk mengeluarkan benda itu. Dia kemudiannya memejamkan mata sambil berselawat dan membaca beberapa surah pendek. Kemudian dia mengajak kami semua keluar kehalaman rumah. Kami cuma menurut. Tidak lama kemudian jatuh satu bungkusan kecil berwarna hitam betul-betul dihadapan tuan guru. Dia mengucapkan terima kasih kepada sahabatnya dan bersyukur. Fahamlah kami akan sahabat yang dimaksudkannya itu adalah dari jenis makhluk halus atau jin. Dia membuka bungkusan itu dan melarang kami menyentuh apa-apa. Dalam keadaan yang agak kelam cuma disinari dengan cahaya pelita, aku dapat melihat isi bungkusan itu penuh dengan kepingan-kepingan seperti daging kering dan serpihan tulang. Katanya kepingan-kepingan itu adalah daging tali pusat dari bayi yang mati ketika dilahirkan atau yang digugurkan manakala serpihan tulang pula adalah tulang-tulang dari haiwan yang najis seperti babi dan anjing. Maka faham lah kami mengapa mak ngah selalu ternampak mayat dibiliknya dan mengapa pinggang mangkuk didapur sering diselongkar seperti anjing atau babi yang menyelongkar sampah dan meninggal bau yang teramat busuk.

Kami masuk semula kedalam. Tuan guru menasihati kami agar sentiasa bersikap hormat terhadap sesiapa juga dan jangan sekali bersikap dengki dan dendam. Pak cik cuba bertanya adakah tuan guru tau siapa yang melakukan perkara-perkara tersebut keatas keluarga kami. Jawabnya, itu tidak penting. Yang penting kami sekeluarga kini telah selamat dan dilindungi Allah dan berdoa agar orang-orang yang bersifat dengki itu suatu hati nanti akan menyesal dengan perbuatan mereka dan akan kembali kepangkal jalan. Daripada penerangan tuan guru itu aku rasa kami semua dapat meneka siapakan mereka-mereka itu.

Selang seminggu selepas kejadian itu kami sekampung mendapat berita yang anak orang kaya dari kampung sebelah telah meninggal dunia dalam satu kemalangan jalanraya ketika ingin pulang kekampung dari Kuala Lumpur. Setelah dirisik, tau lah kami yang orang kaya tersebutlah yang datang dan cuba meminang mak ngah tempoh hari tetapi ditolak secara baik oleh datuk.

Sebulan kemudiannya rombongan keluarga dari pak cik datang kerumah untuk menunaikan hajat anak mereka. Datuk dengan senang hati menerima pinangan mereka dan kini pak cik telah menjadi pak ngah bagi ku dan hidup aman damai bersama keluarganya.

Orang Utara

Picture

Cerita Lain....

Ke Laman Utama